Seawal usia satu minggu, Hasanah telah didiagnos dengan cerebral palsy tahap ke-4, keadaan dimana dia lumpuh seumur hidupnya. Kini berusia 11 tahun, Hasanah tidak dapat berjalan, duduk, atau makan sendiri seperti kanak-kanak lain seusianya. Dia bergantung sepenuhnya kepada ibu bapanya untuk segala keperluan harian—dari makan, mandi, menukar lampin, hingga perlu didukung ke mana sahaja dia pergi.

Namun, di sebalik segala cabaran, Hasanah seorang yang senang diurus. Dia lebih senang dan selesa berada disisi ibu bapanya. Tetapi, semakin dia membesar, semakin besar juga ujian yang perlu ditanggung keluarganya.

Sila tonton video dibawah untuk mengetahui kisah Hasanah 

Kini, Hasanah telah mencecah berat 30kg dan semakin membesar. Kerusi roda dan katil mandi yang sedia ada tidak lagi sesuai untuknya. Kerusi rodanya semakin sempit, dan katil mandinya sudah tidak selesa untuk digunakan. Namun, disebabkan kekangan kewangan, keluarganya terpaksa menangguhkan keperluan ini, walaupun mereka tahu Hasanah semakin tidak selesa dengan peralatan lama yang semakin tidak sesuai untuk tubuhnya yang sedang membesar. Disamping itu, kos bulanan Hasanah juga begitu tinggi iaitu RM2,000 sebulan untuk pembelian susu khas,pampers dan keperluan lain.

Ayahnya yang dahulu bekerja terpaksa berhenti kerana ingin mengurus Hasanah, kini dia bekerja sendiri, berusaha siang dan malam untuk menyara keluarga. Namun, dengan kos hidup yang semakin meningkat serta keperluan khas Hasanah yang mendesak, pendapatan mereka tidak mencukupi. Ibunya, yang merupakan suri rumah sepenuh masa, mengorbankan segalanya untuk menjaga Hasanah dengan penuh kasih sayang.

Hasanah sangat memerlukan kerusi roda baru untuk memudahkannya bergerak, katil mandi khas untuk kebersihan dan keselesaan, serta susu khas dan lampin untuk keperluan pemakanannya. Ini bukanlah satu kemewahan, tetapi keperluan asas keselesaannya bertarung untuk hidup.

Kita mungkin tidak dapat mengubah takdir Hasanah, tetapi kita boleh mengubah keselesaan dan meringankan beban keluarganya. Dengan bantuan dan keprihatinan anda, dia boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk membesar dengan penuh kasih sayang dan penjagaan yang baik.

Sumbangan anda, walau sekecil mana, amat bermakna buat Hasanah.

💙 Derma Sekarang. Kongsi Kisahnya. Bersama, Kita Bantu Hasanah.